7 Sunnah Menyambut Kelahiran Bayi Dalam Islam

7 Sunnah Menyambut Kelahiran Bayi Dalam Islam



Kelahiran anak adalah merupakan suatu kebahagiaan tersendiri bagi ibu bapa. Namun di sebalik kegembiraan, ia juga merupakan amanah yang harus di jaga dan dijalankan sesuai dengan kewajipan.

Dalam surah As-Syura, disebutkan bagaimana Allah memberikan anak-anak lelaki dan perempuan sebagai salah satu anugerah kepada siapa yang Dia kehendaki.

(49)لِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ ۚ يَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ الذُّكُورَ

(50)أَوْ يُزَوِّجُهُمْ ذُكْرَانًا وَإِنَاثًا ۖ وَيَجْعَلُ مَنْ يَشَاءُ عَقِيمًا ۚ إِنَّهُ عَلِيمٌ قَدِيرٌ


Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi, Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki. Dia memberikan anak-anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak-anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua jenis laki-laki dan perempuan (kepada siapa) yang dikehendaki-Nya, dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.

punca bayi menangis
Foto Kredit: sumanimama.lt

7 SUNNAH MENYAMBUT KELAHIRAN BAYI DALAM ISLAM
1. MENGAZANKAN BAYI

Cara azan bayi baru lahir adalah pada telinga kanan bayi lelaki dan perempuan secara sederhana laungannya. Antara manfaat azan adalah menanamkan benih keimanan dalam hati bayi sejak kecil lagi.

Menurut Ustaz Muhammad Noor melalui Majalah Al-Ustaz, adapun amalan ini sebenarnya dinilai sebagai hadis dhoif, para fuqaha mazhab Syafie, Hambali, dan Hanafi menggalakkan atas dasar sebuah hadis sahih yang menyebutkan bahawa syaitan lari apabila mendengar suara azan.


2. MENTAHNIK
Mentahnik adalah meletakkan kurma yang telah dikunyahkan dan digosokkan ke lelangit bayi baru lahir. Jika tidak mendapati kurma untuk mentahnik, maka boleh digantikan dengan yang makanan lain yang manis seperti madu.

Dari Abu Musa Al-Asy’ari, ia berkata.

“Anak lelakiku baru saja lahir, lantas aku membawanya kepada Rasulullah SAW. Sesampainya di hadapannya, Baginda memberinya nama Ibrahim, lalu mentahniknya dengan kurma dan memohonkan keberkatan baginya, setelah itu menyerahkan kembali bayi itu kepadaku.” (Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim)



3. MENAMAKAN BAYI PADA HARI PERTAMA ATAU KE-7
Sunat menamakan anak yang baharu lahir dengan nama yang elok dan membawa makna baik kerana nama itu yang akan dipanggil di hari akhirat kelak.

Memberikan nama kepada anak seeloknya dibuat dengan memperhatikan makna dari nama tersebut, bukan sekadar mengikut trend. Nama-nama yang dianjurkan adalah nama-nama malaikat, nama para nabi serta nama-nama mudah dan ringkas agar ia tidak mengelirukan.


4. MENCUKUR RAMBUT
Mencukur rambut sebagai tanda permulaan kehidupan anak kecil sebagai manusia dan hamba di sisi Allah. Dari segi kesihatan, ia dapat membersihkan saki baki kotoran pada kepala bayi semasa di dalam rahim. Rambut yang dicukur kemudiannya akan ditimbangkan dan disedekahkan dengan wang emas.

Selalunya majlis kenduri aqiqah diadakan sekali dengan majlis mencukur rambut yang orang kita panggil ‘cukur jambul’. Perlu diingat, sunnahnya adalah mencukur keseluruhan rambut dan bukanlah menggunting sedikit rambutnya. Elakkan melakukan amalan adat seperti menggunakan buah kelapa, garam, beras dan bunga semasa mencukur rambut anak yang menyerupai budaya Hindu.


5. AQIQAH
Aqiqah adalah ibadah menyembelih haiwan sebagai tanda syukur kepada Allah atas bayi yang baru lahir. Hukumnya adalah sunat muakkad. Bagi yang mampu, bolehlah melakukan ibadah ini buat bayi mereka dengan menyembelihkan 2 ekor kambing bayi bayi lelaki dan. 1 ekor kambing bagi bayi perempuan. Ini selari dengan sebuah hadis:

Rasulullah bersabda: “Barangsiapa diantara kalian yang ingin menyembelih (kambing) kerana kelahiran bayi maka hendaklah ia lakukan untuk laki-laki dua kambing yang sama dan untuk perempuan satu kambing.” (Sanadnya Hasan, Hadis Riwayat Abu Dawud)

Tetapi jika ibu bapa tidak mampu melakukan aqiqah tersebut dalam masa terdekat, ia boleh dilakukan sebelum aqil baligh si anak.

 
6. BERSUNAT
Terdapat banyak kebaikan bersunat dari segi kesihatan untuk lelaki mahupun perempuan. Antaranya adalah mencegah penyakit berjangkit yang berkaitan dengan organ genital dan melindungi syahwat.

Ada beberapa hadis Nabi S.A.W dan pandangan ulama tentang usia yang sesuai untuk khatankan anak lelaki. Ada sebahagian besar ulama juga berpendapat, khatan wajar dilakukan semasa anak lelaki meningkat umur baligh dan ada juga yang menganjurkan seawal kelahiran. Contohnya:

Dari Saidatina Aisyah berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW telah mengkhatankan Hasan dan Husin pada hari ketujuh kelahiran mereka berdua.” (HR; Imam al-Baihaqi dan al-Hakim)

Bagi bayi perempuan pula, kebanyakan doktor berpendapat umur seawal mungkin adalah yang lebih sesuai. Selalunya, pasangan akan membawa bayi mereka untuk disunatkan selepas selesai tempoh berpantang.

Meskipun ianya dikecam di sesetengah negara Barat, kita perlu faham bahawa apa yang disunatkan oleh Islam adalah cara bersunat yang sekadarnya dan bukanlah berlebihan sehingga menyebabkan kesakitan melampau, apatah lagi kecacatan anggota.

Foto Kredit: independentnurse.co.uk
Foto Kredit: independentnurse.co.uk

7. SUJUD SYUKUR
Melakukan sujud syukur merupakan salah satu tanda kesyukuran kepada Allah apabila dikurniakan sesuatu nikmat atau terlepas daripada bahaya.

Dari Abu Bakar RA, bahawa Nabi Muhammad SAW biasanya apabila menerima berita yang mengembirakan Baginda terus sujud kepada Allah. (Riwayat Abu Dawud)

Suami boleh lakukan di mana sahaja dia berada ketika itu. Caranya amat mudah. Boleh rujuk cara lengkapnya di artikel ini: Cara Sujud Syukur

 
ELAKKAN PERBUATAN KHURAFAT
Di samping melakukan semua amalan ini, jangan lupa agar sentiasa memohon doa keselamatan untuk anak supaya dijauhkan daripada gangguan syaitan. Apa-apa sahaja doa yang diketahui oleh ibu bapa boleh dibacakan termasuklah surah 3 Qul atau al-Fatihah.

Ibu bapa diingatkan agar jangan sekali-kali melakukan amalan meletakkan gunting, paku dan sebagainya lagi di bawah bantal bayi bertujuan menghalau syaitan atau sebarang gangguan iblis. Ia boleh jatuh syirik kerana ia perbuatan yang khurafat.

SUMBER: ISLAMIK

No comments:

Post a Comment

HUKUM SOLAT TIDAK PAKAI BAJU DALAM BAGI PEREMPUAN DAN SELUAR DALAM BAGI LELAKI.INI JAWAPAN YANG PERLU DIKETAHUI.

HUKUM SOLAT TIDAK PAKAI BAJU DALAM BAGI PEREMPUAN DAN SELUAR DALAM BAGI LELAKI.INI JAWAPAN YANG PERLU DIKETAHUI. Sudah tentu terta...